MELAKA – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa bernilai lebih RM4 juta dalam serbuan di Melaka, Johor dan Pahang kelmarin.
Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, (JSJN) Bukit Aman itu turut menahan enam lelaki termasuk dalangnya berusia 60 tahun di Pahang dan lima lagi berusia 40 hingga 74 tahun.
Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, operasi juga menyita dua kenderaan dan wang tunai keseluruhannya berjumlah RM103,000.
“Dalam serbuan ini, kita merampas dadah disyaki syabu dan pil ekstasi masing-masing seberat 52 kilogram dan 31.4 kilogram yang peroleh dari negara jiran sebelum diseludup ke Dumai, Indonesia.
“Modus operandi sindiket ini yang aktif sejak Jun lalu ialah membawa dadah melalui jalan darat dari utara menggunakan kenderaan persendirian sebelum meninggalkannya di satu tempat.
“Pergerakan membawa dadah dilakukan dengan tersusun mengikut peranan masing-masing sehingga tiba di Pantai Klebang sebelum dadah yang boleh digunakan 365,000 pengagih itu diseludup keluar melalui Dumai, Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang hari ini. Hadir sama, Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah dan Timbalannya Senior Asisten Komisioner Md. Nazri Zawawi.
Ditanya mengenai trend menjadikan Klebang sebagai transit pengedaran dadah termasuk kemungkinan penglibatan nelayan dalam sindiket itu, Mohd Kamarudin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Penglibatan individu lain termasuk nelayan itu masih lagi dalam siasatan.
“Saringan awal mendapati dua daripada enam suspek positif dadah jenis methamphetamine selain lima memiliki rekod jenayah lampau,” katanya.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 28 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette