Pegawai Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Tenaga Kerja Bangi melakukan soal siasat dengan pekerja kilang ketika operasi serbuan di sebuah kilang pembuatan sarung tangan di sekitar Pelabuhan Klang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 24 DISEMBER 2020. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Empat majikan didenda membabtikan nilai keseluruhan RM46,500 selepas didapati melanggar undang-undang perburuhan negara.

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah syarikat dalam sektor perhotelan didenda RM12,000 atas pelanggaran Seksyen 19(1) Akta Kerja 1955 membabitkan  kesalahan lewat membayar gaji kepada pekerja di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada 8 Feb lepas.

Di mahkamah sama, sebuah syarikat dalam sektor perkhidmatan keselamatan atau sekuriti juga didenda RM12,000 kerana melanggar Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) iaitu gagal mematuhi bayaran gaji minimum RM1,500.

Selain itu, pada 19 Feb lalu, sebuah syarikat dalam sektor perkhidmatan pembersihan didenda RM2,500  bagi kesalahan di bawah Seksyen 43 Akta 732 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Sebuah syarikat dalam sektor perlombongan dan pengkuarian pula didenda RM20,000 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pelanggaran Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) pada Khamis lepas (22 Feb).

“JTKSM akan terus mempergiatkan penguatkuasaan dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana majikan atau syarikat yang didapati melanggar peruntukan perundangan perburuhan negara,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast