KUALA LUMPUR – Semua ahli Parlimen kerajaan diingatkan menjaga tatasusila dan kualiti perbahasan mereka sepanjang persidangan Dewan Rakyat yang bermula esok sehingga 27 Mac depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu semasa hadir pada sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat bersama jemaah menteri, timbalan-timbalan menteri dan seluruh Ahli Parlimen Kerajaan Madani di Putrajaya pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, ahli-ahli Parlimen turut diberi taklimat berkaitan perjalanan Parlimen daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Sesi berkenaan turut menjadi ruang bagi semua ahli Parlimen menyentuh pelbagai isu semasa yang mendesak terutamanya melibatkan kepentingan rakyat.
Berdasarkan takwim penggal ketiga, Sidang Parlimen kali ini berlangsung selama 19 hari, bermula dengan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 esok, dengan fokus kepada titah sulung Sultan Ibrahim selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari lalu.
Perbahasan titah diraja dari 27 Februari hingga 7 Mac.
Waktu persidangan bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari dan 2.30 petang hingga 5.30 petang pada hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. – MalaysiaGazette