Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan proses bedah siasat akan dijalankan esok pagi.

KULIM – Seorang pemandu lori mati ditetak dua lelaki menggunakan parang dan sabit dalam kejadian di sebuah kedai kopi di Taman Damai, Padang Serai di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 27 tahun diserang dua lelaki di luar kedai kopi tersebut kira-kira 1.20 tengah hari.

Jelas beliau, suspek yang masing-masing bersenjatakan parang serta sabit itu mengejar mangsa hingga ke dalam kedai kopi sebelum bertindak menetaknya menggunakan senjata tersebut.

“Mangsa rebah dan dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Polis Daerah Kulim sedang giat mengesan dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan pada tangan, dada, belakang badan serta muka akibat diserang dua suspek tersebut.

“Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Safuan, usaha mengesan suspek-suspek yang terlibat dalam kes ini juga sedang giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Asisten Superintendan Azmirul Abd Aziz di talian 019 444 6521 atau IPD Kulim di talian 04- 490 6222 bagi membantu siasatan.

”Kita juga mohon orang ramai agar tidak menularkan gambar berkaitan kejadian yang boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat serta mengganggu siasatan kes,”katanya.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar mangsa dalam keadaan terbaring serta berlumuran darah akibat diserang menggunakan senjata tajam di sebuah kedai kopi di Padang Serai. – MalaysiaGazette