bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Pelabur asing meneruskan belian ekuiti di Bursa Malaysia, dengan aliran masuk bersih RM786.1 juta.

Ia adalah belian bersih minggu kelima berturut-turut dan 2.2 kali lebih tinggi daripada jumlah aliran masuk bersih RM352.9 juta pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Research.

Sama seperti minggu sebelumnya, pelabur asing membeli ekuiti tempatan setiap hari.

Pembelian bersih selama 16 hari dagangan berturut-turut merupakan sesuatu yang tidak dilihat sejak Februari 2022.

Aliran masuk bersih tertinggi pada hari Selasa dengan jumlah RM413.8 juta, hari ringgit jatuh ke paras terendah sepanjang masa sejak 1998.

Sektor yang mempunyai aliran masuk bersih asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM287.2 juta), utiliti (RM235.8 juta), dan tenaga (RM76.9 juta), manakala sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah REIT (-RM18.6 juta), perladangan
(-RM12.4 juta), dan pembinaan (-RM4.4 juta).

Firma penyelidikan itu berkata, berbanding dengan pelabur asing, institusi tempatan meneruskan aliran jualan bersih ekuiti domestik untuk minggu kelima berturut-turut, berjumlah RM596.6 juta, 2.1 kali lebih tinggi daripada minggu sebelumnya RM277.5 juta.

Untuk minggu ketiga berturut-turut, pelabur runcit mengekalkan corak jualan bersih ekuiti domestik mereka, dengan jumlah jualan mencecah RM189.6 juta minggu lepas.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) merentas semua kelas pelabur.

Pelabur runcit tempatan menyaksikan peningkatan sebanyak +29.9% manakala institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak +26.6%
dan +21.6%. – MalaysiaGazette