Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff merasmikan Gerai Batu Hitam, Beserah hari ini

KUANTAN – Gerai Batu Hitam di Beserah yang dibuka sepenuhnya sejak awal tahun ini diharap dapat menjadi tarikan terbaharu pelancongan ke Pantai Batu Hitam, di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerajaan negeri membelanjakan RM2.5 juta bagi tujuan tersebut.

“Bagi pihak kerajaan, kita mensasarkan dengan adanya gerai baru ini, sekurang-kurangnya dapat tarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara ke sini.

“Banyak penambahbaikan yang dibuat, antaranya tandas, kawasan parkir baru dan  bilangan kerusi meja pun ditambah, menjadikan tempat ini lebih selesa untuk peniaga makanan dan pengunjung,” katanya.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan bangunan baru berkonsepkan seni reka bentuk kapal itu di sini hari ini.

Selain infrastruktur Gerai Batu Hitam serba baru dan berada di lokasi strategik iaitu di tepi pantai, Fakhruddin berkata, kerajaan negeri juga mengharapkan menu makanan sedap yang dijual di sini sejak 30 tahun lalu turut menjadi buah mulut kepada pelancong dalam mahupun luar negara.

Sementara itu, salah seorang peniaga, Mohd Hanafiah Omar, 50 yang ditemui MalaysiaGazette memberitahu, bilangan pengunjung ke Gerai Batu Hitam kini semakin meningkat dengan fasiliti baru yang disediakan di sini.

Mohd Hanafiah Omar

“Sekarang bilangan gerai ditambah daripada enam kepada lapan, jadi pengunjung pun ada banyak pilihan.

“Dengan fasiliti baru, dengan parkir tiada masalah dan sewa ditetapkan Majlis Bandaraya (MBK) juga sangat berpatutan iaitu RM250 sebulan. Sangat selesa lah,” katanya.

Justeru, dia berharap dengan pembinaan Gerai Batu Hitam yang baru ini, bilangan pengunjung terus bertambah dan bertumpu ke kawasan ini.

Selepas dua tahun, Gerai Batu Hitam di Beserah secara rasminya mula beroperasi semula di bangunan baharu pada 22 Januari lalu dengan sewa gerai sebanyak RM250 sebulan selama setahun sempena tahun pertama pembukaannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast