Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR – Pendekatan manusiawi Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) mendapat pendidikan berkualiti tinggi, relevan dengan keperluan semasa dan pada masa depan.

Sistem Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) yang merupakan satu bentuk pentaksiran khusus untuk mentaksir kemampuan dan kebolehan MBPK bagi membangunkan potensi berdasarkan konsep mengesan kebolehan dalam ketidakbolehan.

PASM bertujuan mengiktiraf kebolehan dan keupayaan MBPK menerusi penganugerahan Sijil Alternatif Sekolah Menengah (SASM). MBPK di sekolah menengah yang tidak menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) atau Sijil Vokasional Malaysia (SVM) boleh menduduki PASM dan memperoleh SASM, kata KPM dalam satu kenyataan.

“PASM terbuka kepada semua MBPK yang berada di institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM dan dilaksanakan secara berterusan ketika calon PASM berada pada peringkat menengah dengan menggunakan Environment-based Assesment Instrument (EBAI) dan Dokumen Standard Pentaksiran Alternatif.

“PASM dilaksanakan secara sistematik dan berbantukan teknologi bermula daripada pendaftaran hingga ke pensijilan SASM,” kata kenyataan yang sama.

Melalui kaedah pentaksiran alternatif ini, ibu bapa atau penjaga MBPK dapat mengetahui perkembangan pembelajaran anak-anak.

Ia merangkumi lima domain utama iaitu Kerohanian dan Nilai Murni; Akademik Fungsian; Pembangunan Personal dan Kemahiran; Interpersonal; Hidup Berdikari dan Pembangunan Kerjaya.

KPM sentiasa berusaha memperkasakan pendidikan MBPK menerusi pengiktirafan, motivasi dan keyakinan bahawa mereka mempunyai potensi untuk cemerlang dalam sesuatu bidang.

“Murid MBPK yang tamat persekolahan diharapkan mempunyai sekurang-kurangnya kemahiran asas yang dapat membantu mereka menceburi bidang pekerjaan bersesuaian dengan tahap keupayaan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan Malaysia MADANI.

“Usaha murni pelaksanaan PASM membuktikan komitmen berterusan KPM untuk memastikan ekuiti dan kesamarataan pendidikan untuk semua murid seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Ia juga adalah cerminan agenda pendidikan manusiawi KPM yang memastikan akses pendidikan yang terbaik untuk semua murid dan tiada siapa yang terpinggir,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast