Johari Abdul.

KUALA LUMPUR – Tidak sampai sejam digantung empat hari, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menarik balik perintah itu kepada Datuk Awang Hashim (Pendang-PN) daripada memasuki dewan persidangan selama empat hari.

Johari bersetuju menarik balik larangan itu selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin membuat rayuan kepada Johari agar memberi kelonggaran dengan meminta Awang menarik balik kata-katanya termasuk meminta maaf.

Awang juga bersetuju untuk menarik balik kenyataannya seperti syarat yang ditetapkan Hamzah.

“Minta Pendang (Awang) tarik balik, Harap boleh speaker (Johari) boleh bagi kelonggaran. Minta Pendang tarik balik,” kata Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut.

Sebelum ini, Awang menjadi ahli Parlimen pertama dikenakan hukuman sedemikian selepas didapati lantang membantah keputusan Johari membenarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan terima kasih kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apa yang diperkatakan Awang sehingga mendorong Johari terus mengeluarkan perintah berkenaan kepada Ahli Parlimen Pas itu.

Menjelaskan mengapa hukuman itu dikenakan kepada Awang, Johari berkata, ini kerana pemimpin Pas itu seolah-olah mencabarnya.

“Di antara pemimpin pembangkang yang paling saya hormat adalah Pendang, kawan saya, pegawai saya dulu tetapi apabila saya sebut satu perkara, Pendang tarik balik. Oh (Pendang kata) saya takkan tarik balik. Kamu kawan saya atau tidak?

“Kamu tidak peduli kerana mulut santan binasa. Anggaplah saya kawan tetapi bila saya mempengerusikan (dewan ini) kena hormat itu kawan aku, dia speaker. Kalau tidak hancur dewan ini.

“Kalau saya tak buat begitu (hukum), saya kata tarik balik, Pendang tarik balik…Oh (Pendang kata) aku takkan tarik balik. Kamu tidak boleh macam itu kepada speaker. Mana-mana orang tak boleh terima, sebab itu saya bagi empat hari walaupun (Yang Dipertuan) Agong kata 14 hari,” katanya lagi.

Berikutan itu, semua ahli Parlimen PN yang tidak bersetuju dengan ‘kebenaran’ Johari bertindak keluar dari dewan untuk mengadakan sidang media kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Speaker Dewan Rakyat.

Sementara itu, ketika perdebatan slot yang diberikan kepada Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan permohonan dibuat di bawah peraturan 14 (2). – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MP Pendang digantung empat hari sidang Dewan Rakyat