peneroka Felda
Awang Hashim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pendang dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Awang Hashim digantung empat hari daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Perintah itu dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas Awang dikatakan mengeluarkan kata-kata ketika ahli Parlimen membantah keputusan membenarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan terima kasih kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang tidak mematuhi peraturan mesyuarat.

“Apa ini Pendang? Adakah awak dibenarkan bercakap ketika Ketua Pembangkang sedang bercakap? Awak duduk, Ketua Pembangkang teruskan,” kata Johari.

Sebelum itu, kedengaran Awang mengeluarkan kata-kata yang Johari membuat keputusan tersebut kerana mengikut emosi.

Namun sebaik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin selesai memberi hujahnya kenapa Perdana Menteri tidak boleh membuat ucapan tahniah, Johari meminta Anwar memulakan ucapannya.

Secara tiba-tiba, Johari mendakwa ada kata-kata yang dikeluarkan yang tidak dapat didengar secara jelas.

“Tarik balik ayat itu? Pendang empat hari,” tegas Johari.

Namun tidak dinyatakan sama ada Awang digantung atau direhatkan selama empat hari.

Sementara itu ketika sidang media kemudiannya, Awang pelik dengan keputusan yang dibuat Johari secara tergesa-gesa.

“Saya tidak tahu apa kesalahan saya digantung empat hari, Speaker Dewan Rakyat buat keputusan ikut emosi,” katanya. – MalaysiaGazette