KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa tidak menunjukkan kesungguhan untuk menyelesaikan pelbagai isu yang sedang melanda negara sehingga menimbulkan keresahan kepada rakyat di akar umbi.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, apa yang rakyat mahu adalah penyelesaian isu beras, sayur, ayam, bawang, daging, ikan, telur dan bukannya bak kut teh.
Baru-baru ini hidangan sup babi itu yang dikatakan hidangan berasal dari Klang diiktiraf secara rasmi sebagai sebahagian daripada warisan negara.
“Yang kita tunggu, pengumuman menteri yang empati tentang nasib rakyat bukan pengumuman yang angkuh dan sombong yang menggunakan kuasanya menghukum Ketua Pengarah, Lembaga Penggalakan Pelancongan (LPPM) tanpa alasan yang kukuh. Macam-macam cerita yang kita dengar.
“Timbul pula, isu pencen. Mengapa mesti kerajaan umumkan ketika mana dasar dan makanismenya belum jelas. Selain itu, cuba kita lihat, Menteri Pendidikan Tinggi kata, terdapat kira-kira 29,000 graduan masih menganggur. Tiba-tiba Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bercadang untuk membenarkan graduan asing bekerja di sektor berteknologi tinggi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hamzah (Larut-PN) turut mengingatkan kerajaan agar beri keutamaan kepada rakyat Malaysia.
Tegas beliau, jangan bersikap seperti perumpamaan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
“Utamakanlah graduan tempatan. Latih mereka dan perbanyakkan pengambilan graduan bagi sektor berteknologi tinggi dengan kerjasama IPT tempatan.
“Hari ini, pekerja p-hailing terpaksa turun ke jalanan untuk memperjuangkan kebajikan mereka. Mana dia janji nak selesaikan isu bayaran gaji mereka?
“Apakah soal kebajikan mereka ini tidak penting di mata kerajaan? Apakah soal kebajikan mereka ini remeh bagi kerajaan?
“Kredibiliti seseorang pemimpin itu diukur dengan cara bagaimana dia menunaikan segala janji-janjinya. Kredibiliti kepimpinan juga diukur dengan kemampuan sesebuah kerajaan itu mencipta pembangunan, menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan. Bukan janji semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette