M.Kumar (Tengah) hadir di Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

JOHOR  BAHRU – Siasatan kes terhadap pemerasan 10 anggota dan pegawai polis terhadap orang awam membabitkan wang tunai RM35,000  awal bulan lalu sudah di peringkat akhir.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya akan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebaik sahaja kertas siasatan dilengkapkan.

“Siasatan kes di peringkat akhir sementara menunggu laporan analisis forensik dan penyata daripada Bank Negara Malaysia.

“Ulasan dan cadangan daripada hasil siasatan akan dikemukakan ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang, (D5) Bukit Aman terlebih dahulu sebelum dikemuka kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Pada 5 Februari lalu, Polis Johor menerima laporan dakwaan pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000 oleh pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di IPD Seri Alam.

Seorang tukang cuci wanita berusia 41 tahun dikatakan membuat laporan mendakwa seorang anggota polis meminta wang RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.

Pengadu dikatakan hadir ke IPD Seri Alam dan menyerahkan wang RM35,000 kepada anggota berkenaan, namun mendakwa adiknya masih tidak dibebaskan hingga kini.

Susulan itu, seorang pegawai serta sembilan anggota termasuk seorang wanita di IPD Seri Alam ditahan untuk siasatan lanjut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast