Penganjur Himpunan Mega Demi Palestin bergambar selepas sidang media di Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor (KLSCAH), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 27 FEBRUARI 202

KUALA LUMPUR – Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) mendakwa telah menyerahkan notis bagi penganjuran Himpunan Mega Demi Palestin kepada Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju pada 22 Februari lalu.

Menurutnya, permit bagi perhimpunan tidak lagi diperlukan selepas Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 digubal bagi menggantikan Seksyen 27, 27A, 27B dan 27C Akta Polis 1967 (Akta 344).

SSP berkata, selepas pindaan pada 2019, d bawah APA, hanya notis dalam tempoh lima hari bekerja diperlukan.

Tambahnya, Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) juga telah menghantar permohonan ke Kementerian Wilayah Persekutuan bagi kelulusan penggunaan Padang Merbok sebagai tapak himpunan.

“Himpunan yang dijadualkan pada 2 Mac ini adalah satu perhimpunan aman dan ia akan berlangsung secara terkawal. Pihak SSP dan rakan-rakan penganjur telah menyediakan pasukan keselamatan, petugas kesihatan, peguam dan lain-lain.

“Justeru kami mohon kerjasama kepada pihak penguatkuasa khususnya pihak polis agar ianya dapat berjalan dengan lancar.

“Perhimpunan Solidariti Palestin adalah selaras dengan pendirian kerajaan yang menyokong perjuangan pembebasan rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pihak berkuasa sepatutnya mempromosikan pendirian kerajaan dalam isu Palestin dengan konsisten dan tidak mengugut orang ramai supaya tidak hadir ke himpun.

SSP memberi respon terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah hari ini.

Menurut Ashari, setakat semalam, pihak penganjur masih gagal mengemukakan sebarang pemakluman dan permohonan.

“Bagaimanapun, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju telah mengadakan sesi perjumpaan bersama pihak penganjur Mega Rakyat Demi Palestin pada Khamis lepas.

“Hasil perjumpaan tersebut, pihak penganjur telah dinasihat untuk mengemukakan pemakluman dan permohonan permit kepada pihak IPD Wangsa Maju,” menurutnya dalam kenyataan, malam Selasa.

Beliau berkata, justeru itu, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak berkumpul atau mengadakan sebarang perhimpunan tanpa kebenaran. – MalaysiaGazette