Razali Idris

KUALA LUMPUR – Amat memalukan apabila seorang ahli Parlimen termasuk Menteri Kerajaan Malaysia Madani masih merangkak-rangkak membaca atau bertutur bahasa Melayu, kata Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

Ketua Peneranganya, Datuk Razali Idris berkata perkara tersebut tidak boleh diterima kerana pernah ditegur Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini.

“Kerajaan (pimpinan) PMX sepatutnya lagi malu atas perkara itu, kerana sampaikan Agong terpaksa seru kepada kerajaan untuk rangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.

“Lebih memalukan, masih ada Ahli Parlimen termasuk menteri dan timbalan menteri yang merangkak-rangkak membaca atau bercakap dalam bahasa kebangsaan.
Apa yang dititahkan Tuanku Agong Sultan Ibrahim itu memang ada kebenarannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru Razali berkata, sistem pendidikan negara perlu diperkukuhkan khususnya dalam penguasaan bahasa Melayu.

“Jangan terlalu asyik memperkasakan bahasa Inggeris sehingga memperlihatkan sedikit demi sedikit ketirisan dalam melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan. Dulu bahasa kebangsaan ini pernah diangkat sebagai bahasa lingua franca zaman Kesultanan Melayu Melaka dan sekarang ini.

“Tiba masanya bahasa kebangsaan sebagai bahasa toleransi yang dapat diberikan acuan sebagai bangsa Malaysia yang unggul,” katanya lagi.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 bertitah mengenai kepentingan menguasai bahasa kebangsaan.

Baginda berharap Kerajaan Madani dapat melaksanakan dasar mengukuhkan perpaduan antara rakyat negara ini.

“Saya perhatikan setelah lebih 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum yang lain.

“Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.

“Pepatah Melayu ada menyebut, “melentur buluh biarlah dari rebungnya” – yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa hadapan yang bersatu padu dan saling memahami, kita mesti membentuk mereka sejak anak kecil,” titah baginda. – MalaysiaGazette