Suri rumah maut dipukul dengan tukul besi dan but keselamatan oleh anak lelakinya yang berada dalam pengaruh dadah di Kampung Jawa, Klang hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah menemui ajal selepas disyaki dipukul oleh anak sendiri yang berada dalam pengaruh dadah.

Insiden menyayat hati itu menimpa mangsa berusia 56 tahun itu dalam kejadian yang berlaku di rumahnya di Kampung Jawa, Klang hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian  lebih kurang 9.45 pagi tadi daripada orang awam.

“Bertindak atas maklumat itu pasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum siasatan mendapati simati merupakan seorang perempuan India tempatan berumur 56 tahun.

“Si mati merupakan seorang suri rumah dan tinggal bersama suami dan anak lelaki iaitu suspek di dalam kes ini dan mendapati mangsa telah berselisih faham dengan suspek sebelum suspek telah memukul emaknya menggunakan sepasang kasut jenis safety boot dan  tukul besi sehingga parah sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan petang tadi.

Tambah Mohd Iqbal, bertindak atas maklumat  polis berjaya mengesan dan membuat tangkapan ke atas suspek lelaki berkenaan sekitar 11.30 pagi di tempat kerjanya iaitu di kedai gunting rambut yang terletak di Taman Sentosa Klang.

“Suspek merupakan seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting rambut dan mendapati berada di bawah pengaruh dadah semasa melakukan jenayah tersebut.

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod dadah dan satu rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methaphetamine.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada pagi esok (Khamis) untuk perintah reman bagi membantu siasatan lanjut manakala mayat mangsa sudah dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” ujar beliau.

Tegasnya lagi, kes sedang disiasat di bawah Seksyen Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun hingga maksimum 40 tahun dan hendaklah juga dihukum 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut tentang kejadian ini bolehlah menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Salwani Samsudin di talian 0132444234,” ujar beliau.- MalaysiaGazette