KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 akan membuka ruang dan pintu kepada cabaran di negeri-negeri lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, perbuatan itu jelas akan memudahkan mana-mana pihak melakukannya dengan alasan peruntukan tersebut tidak berpelembagaan.
“Apa yang diputuskan dalam kes Nik Elin tu telah membuka ruang yang luas di mana-mana pihak untuk mengemukakan cabaran terhadap apa-apa peruntukan atau undang undang sebagai tidak berpelembagaan,” katanya dalam sidang usul Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan tambahan Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) berhubung Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Menggubal Undang-undang Syariah, hari ini.
Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.
Keputusan bersejarah itu disampaikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.
Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu.
Dalam pada itu, Mohd Na’im mengakui sukar untuk kerajaan menghalang mana-mana pihak daripada mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan bagi mencabar apa-apa peruntukan atau undang-undang digubal kerajaan negeri.
Beliau menjelaskan, perihal memfailkan permohonan mencabar sesuatu undang-undang digubal Parlimen atau badan perundangan negeri diperuntukkan dalam Perkara 128(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Agak sukar untuk menghalang mana-mana pihak daripada mencabar apa-apa peruntukan kerana keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin… walaupun kita tengok biasanya pihak yang mahu memfailkan locus standi (bagi) mencabar sesuatu peruntukan.
“Dalam kes Nik Elin, walaupun tidak terbabit secara langsung atau locus, Mahkamah Persekutuan memutuskan dia mempunyai locus untuk mengemukakan permohonan mencabar peruntukan di Kelantan,” katanya. – MalaysiaGazette