Penginapan daif yang disediakan majikan antara tujuh kesalahan dikesan Jabatan Tenaga Kerja Melaka dalam Op Gegar dua hari lalu.

MELAKA – Lapan syarikat di negeri ini dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan berkaitan pekerja dalam Op Gegar yang dijalankan selama dua hari bermula Selasa lalu.

Pengarah Tenaga Kerja Negeri Melaka, Naziyah Said berkata, dalam operasi itu, lima syarikat sektor pembuatan dan tiga syarikat pembinaan di sekitar daerah Alor Gajah dan Jasin telah diperiksa.

“Hasil pemeriksaan, tujuh majikan dikesan menyediakan penginapan pekerja tanpa perakuan selain empat syarikat mengabaikan faktor kebersihan dan satu lagi lewat membayar gaji.

“Pemeriksaan juga mendapati penginapan disediakan majikan adalah daif dan satu kertas kertas siasatan akan dibuka bagi pelanggaran serta kesalahan itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, operasi melibatkan kekuatan 27 penguat kuasa daripada pelbagai agensi itu telah memeriksa 115 pekerja tempatan dan 221 pekerja asing terdiri daripada warga Bangladesh, China dan Nepal.

Operasi serentak di seluruh negara itu memfokuskan kepada pematuhan majikan terhadap Akta Kerja 1955 (Akta 265), Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

“Dalam operasi sama, enam majikan turut dikompaun oleh Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah dan Majlis Perbandaran Alor Gajah.

“Kesalahan dilakukan adalah mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik dan tiada lesen penginapan serta kebersihan tandas dan dapur,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast