KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Terengganu tidak berhasrat untuk menukar nama Pasar Kedai Payang kepada nama lain.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana nama Pasar Kedai Payang itu sendiri mempunyai susur galur sejarah, budaya dan resam yang unik serta dekat di hati rakyat Terengganu.

“Apa yang mahu dicapai oleh pihak Kerajaan Negeri ialah menjadikan Pasar Kedai Payang sebagai ‘pasar utama’ bagi Terengganu yang menjadi tumpuan, pusat aktiviti pelancongan dan sebagainya sesuai dengan sifat serta sejarahnya di kedudukan tengah negeri Terengganu dan pesisir pantai timur,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau menyatakan demikian berikutan cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, semalam untuk menjenamakan Pasar Kedai Payang sebagai ‘Central Market @ Pasar Payang’ bagi hab untuk kesenian, kraf tangan, kebudayaan dan pelancongan.

Beliau berkata, ia akan menjadi kompleks yang memenuhi keperluan semua pihak termasuk pelancong sama ada dalam dan luar negara yang berkunjung ke negeri itu.

Kor Ming berkata berkata, cadangan itu juga mampu melonjakkan sosioekonomi dan kualiti hidup masyarakat setempat termasuk peniaga di sini dalam usaha menarik lebih ramai pelancong apabila kompleks berkenaan dijenamakan seperti Central Market Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette