Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin menyantuni anak-anak staf semasa sesi agihan kelengkapan sekolah di UMPSA Gambang

KUANTAN – Seramai 100 anak-anak staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima sumbangan keperluan persekolahan daripada Yayasan UMPSA bagi sesi pembukaan sekolah tidak lama lagi.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan UMPSA berkata, bantuan tersebut merupakan keprihatinan universiti dalam meringankan perbelanjaan persekolahan anak-anak dalam kalangan staf yang berkeperluan.

Kelengkapan sekolah terdiri daripada pakaian sekolah, stoking, kasut, beg sekolah serta alat tulis buat anak-anak yang akan melangkah ke alam persekolahan bagi sesi Mac 2024/2025 tidak lama lagi.

“Kita mahu berkongsi apa yang kita ada dengan golongan memerlukan, lebih-lebih lagi meringankan beban keluarga setiap kali sesi baharu persekolahan bermula, sudah pasti banyak perbelanjaan perlu dikeluarkan, terutama pembelian kelengkapan persekolahan seperti baju sekolah, kasut sekolah dan sebagainya.

“InsyaAllah kita berhasrat untuk menambah bilangan penerima manfaat pada masa akan datang agar lebih ramai dapat dibantu  menyampaikan sumbangan dan menyantuni anak-anak dan staf UMPSA,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ujarnya, melalui program ini, pihak universiti  berharap ia dapat menjadi motivasi untuk anak-anak memulakan sesi persekolahan dengan semangat baharu.

Program anjuran Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Jabatan Pendaftar dan Yayasan UMPSA turut dibantu 10 sukarelawan UMPSA Kilau dalam program yang berlangsung di Dewan Serbaguna, UMPSA Pekan dan Blok W UMPSA Gambang, semalam.

Hadir sama Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Mimi Rabita Abd Wahit dan Eksekutif Kanan Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Pendaftar, Abd Rahman Ahmad.

Salah seorang penerima, Rohaiza Ms Rasdi yang merupakan Pembantu Tadbir di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam melahirkan rasa gembira apabila terpilih menerima sumbangan pakaian sekolah untuk anak sulungnya yang berusia tujuh tahun yang bakal menjejakkan kaki di alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Gambang.

Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu menyifatkan program tersebut tepat pada masanya tatkala keresahan bagi sesetengah kakitangan dalam membuat persiapan awal persekolahan anak-anak.

Tambahan pula bulan Ramadan dan Aidilfitri bakal menjelang turut memerlukan perbelanjaan tambahan.

Sementara itu, Pengawal Keselamatan, Iskandar Abdul Rahman berkata, pada tahun ini empat daripada lima anaknya akan bersekolah.

Katanyua, kos kelengkapan sekolah yang tinggi sememangnya membebankan namun sumbangan yang diterima dapat meringankan beban yang ditanggung. – MalaysiaGazette