Borhan Aman Shah

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Keadilan (MPN) Selangor mempersoalkan apa pendirian Perikatan Nasional (PN) Selangor pimpinan terhadap kebiadapan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dimurkai Sultan Selangor.

Timbalan Pengerusi MPN Selangor, Borhan Aman Shah mahu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi reaksi atas apa yang berlaku.

Beliau merujuk kepada surat oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri pada 20 Februari lalu.

“Surat tersebut jelas menyebut tentang betapa dukacitanya Sultan Selangor atas kenyataan Presiden Pas yang menyinggung tanpa memahami secara menyeluruh titah ucapan baginda.

Justeru, katanya, adakah PN Selangor dengan sengaja sanggup untuk membelakangi titah ucapan Sultan Selangor hanya semata-mata untuk menjaga hati pemimpin dan penyokong Pas.

“Ini terbukti apabila dalam kes Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, PN Selangor kekal membisu meskipun Sultan Selangor dukacita dan murka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MPN Selangor akan terus mendokong usaha memupuk perpaduan dan menyelar sebarang kenyataan yang menghina Raja-Raja Melayu yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

“Agama Islam tidak boleh diperalatkan dan dicemari demi kepentingan politik kepartian masing-masing, itu pendirian kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette