PUTRAJAYA – Kerajaan perlu membuka lebih banyak ruang pendidikan terhadap anak-anak dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor yang mewakili suara masyarakat orang asal itu berkata, golongan itu masih tidak diberikan ruang untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Katanya, masyarakat Orang Asli perlu diberikan kuota khas untuk memasuki MRSM serta sekolah berasrama penuh (SBP) bagi memastikan akses pendidikan yang baik turut diberikan kepada mereka.
“Bukalah pintu MRSM kepada kami, satu peratus pun tidak mengapa. Tak dapat satu pun, 0.5 peratus pun boleh. Pastikan Orang Asli juga ada di MRSM. Di SBP juga, tolonglah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai membentangkan laporan Pemerkasaan Orang Asli sempena Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, langkah itu penting dalam memastikan golongan Orang Asli terus diperkasa dan tidak lagi ketinggalan.
Ujarnya, ia perlu kerana usaha itu mampu membawa kepada kecemerlangan masyarakat Orang Asli selari dengan kemajuan yang dicapai ketika ini.
Pada masa sama, beliau turut berharap usaha berkenaan disambut oleh masyarakat Orang Asli demi memastikan matlamat itu tercapai.
Tegas beliau, kemajuan sukar dicapai sekiranya tiada tekad dari golongan itu untuk melaksanakan perubahan selain hanya bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata.
Dalam pada itu, Ramli berkata, tanggungjawab bagi menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli wajar diletakkan dibawah Senarai Bersama dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan pelbagai isu yang membelenggu mereka khususnya berkaitan tanah dapat diselesaikan segera.
Katanya, Jadual Kesembilan itu wajar dipinda khususnya untuk meletakkan tanggungjawab menjaga kepentingan Orang Asli turut diberikan kepada pihak negeri.
“Kena ada punca kuasa. Sekarang, tanggungjawab Orang Asli diletak dalam Jadual Kesembilan berada di senarai pertama (pusat) sementara tanah dan sebagainya diletak dalam senarai kedua (negeri). Saya mohon kerajaan pinda perlembagaan ini dengan memindahkan tanggungjawab Orang Asli ini kepada Senarai Bersama.
“Komitmen negeri dan pusat mesti selari. Jadi banyak isu contohnya tanah di Kelantan, Perak dan sebagainya boleh dapat dirundingkan. Sebab bila mahu membuat sesuatu itu, kena ada punca kuasa yang akan menghalalkan tindakan kita,” katanya lagi.
Tambah Ramli, dalam aspek memajukan masyarakat Orang Asli, mereka juga berhak untuk menikmati manfaat pembangunan yang sama rata dinikmati rakyat di kawasan lain.
“Berilah ruang sebagai mana Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970an dulu, yang dikhususkan kepada masyarakat Orang Asli. Ini boleh dihalalkan sebab kalau buka perlembagaan, Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan adalah mengenai kesamarataan undang-undang untuk setiap rakyat.
“Jadi laksanakanlah, sebab kami (Orang Asli) sudah ketinggalan lebih 60 tahun.
“Saya ada berjumpa dengan menteri undang-undang sebelum ini. Malah pernah dibawa kepada mantan Perdana Menteri, kepada Timbalan Perdana Menteri pun ada menyuarakan. Dengan Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) pun saya ada berbincang. Ada kerajaan negeri yang mahu membantu Orang Asli tapi tersekat sebab punca kuasa tiada,” katanya.
Ramli yakin dengan kedudukan kerajaan pada hari ini yang sudah memiliki sokongan dua pertiga di Parlimen, tidaklah sukar jika pindaan-pindaan ini dapat dilakukan khususnya selepas mendapat perkenan daripada Raja-Raja Melayu selain kejayaan Parlimen meluluskan pindaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 2022.
“Inilah masanya, lepas ini saya tak tahu. Sebab apa saja boleh dijayakan kalau ada kemahuan politik. Segalanya boleh dilakukan kalau kemahuan politik itu ada. Kalau sekadar cakap-cakap saja, dia tak akan ke mana,” ujarnya. – MalaysiaGazette