Wan Rosdy Wan Ismail ketika mengadakan kunjung hormat Menteri Waqaf dan Hal Ehwal Islam Maghribi, Profesor Dr. Ahmad At-Taufiq di Magribi hari ini.

KUANTAN – Kerajaan Pahang meneruskan agenda dakwah dan pendidikan Islam menerusi perluasan hubungan dengan negara Timur Tengah.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selepas Jordan delegasi kerajaan negeri melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Waqaf dan Hal Ehwal Islam Maghribi, Profesor Dr. Ahmad At-Taufiq di Magribi hari ini bagi berkongsi kepakaran, khusus dalam kajian literasi Al-Quran dan ilmu Turath Islam.

“Ini bertujuan mengeratkan hubungan baik yang sedia terjalin antara Kerajaan Negeri Pahang dengan Maghribi yang telah bertaut sejak penghujung tahun 80-an, khususnya melalui tajaan Yayasan Pahang dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab,” katanya.

Menurut Wan Rosdy, antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah berkaitan jumlah kuota khas untuk pelajar Pahang melanjutkan pengajian ke negara tersebut.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga berhasrat mendapatkan pakar dalam bidang ilmu Turath Islam melalui kerjasama perkongsian pintar dengan universiti di Maghribi yang akan ditempatkan di Maahad Tahfiz milik Yayasan Pahang.

”Selain itu kami berbincang tentang penubuhan pusat persediaan untuk menyambung pelajaran ke Maghribi di Pahang.

”Di samping itu, bersempena dengan penganjuran Persidangan Antarabangsa Mengenai Pendidikan Kontemporari dalam Dunia Islam pada bulan Mei 2024 nanti,” katanya.

Wan Rosdy kini mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Pahang mengadakan lawatan kerja ke negara Jordan dan Maghribi yang bermula 25 Februari sehingga esok. – MalaysiaGazette