Anggota polis menahan kenderaan yang dipandu secara melawan arus yang dikatakan dipandu warga emas yang menghidap penyakit Dementia.

JOHOR BAHRU- Seorang warga emas berusia 75 tahun ditahan polis Johor hari ini kerana memandu secara melawan arus di Kilometer 9 Jalan Johor Bahru-Air Hitam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), ACP Balveer Singh A/l Mahindar Singh berkata, wanita itu ditahan pada jam 4.11 petang di kawasan Iskandar Puteri.

“Penahanan wanita itu adalah untuk membantu siasatan pihak polis ekoran dia (pemandu wanita) yang viral sejak malam semalam kerana memandu kereta melawan arus.

“Pihak polis telah pun mengesan satu video tular yang dikongsi di Twitter oleh pemilik akaun “X Malaysia Most Viral” yang memaparkan sebuah kereta Honda Civic bewarna kelabu dengan memaparkan pemanduan secara menentang arus,”katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun penjara dan denda tidak kurang  RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang awam untuk tidak membuat spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam dan menyerahkan kejadian itu kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan wanita itu bukan dibawah pengaruh alkohol.

“Bagaimanapun hasil soal siasat mendapati wanita tersebut  disyaki mengalami penyakit Dementia atau masalah dari segi kemampuan minda,” ringkasnya.

Petang tadi tular rakaman video berdurasi sembilan saat yang memaparkan sebuah kereta bewarna kelabu dipandu seorang wanita tua dalam keadaan menyongsang arus.

Kenderaan itu dilihat memasang lampu kecemasan sebaik menyedari beliau sedang memandu melawan arus. -MalaysiaGazette