Foto: JBPM Sabah

SANDAKAN – Dua maut manakala lima lagi parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori 10 tan dalam kemalangan di Batu 25, Jalan Sandakan di sini tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui ketika dihubungi berkata, kedua-dua mangsa yang belum diketahui identiti itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.

Beliau berkata, lima pegawai dan anggota Bomba bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian terletak 38 kilometer dari BBP Sandakan dan mangsa yang cedera dikeluarkan lebih awal dengan bantuan orang awam.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 12.53 tengah hari tadi. Lima mangsa yang parah iaitu dua wanita serta tiga kanak-kanak lelaki dihantar ke hospital.

“Selain itu empat individu yang berada di dalam lori iaitu pasangan suami isteri dan dua anak lelaki mereka tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Severinus berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang parah dikenali sebagai Nurliza Ginting, 29, Emma, 28, Haikal, 11, Hasrun, 7, serta Amirul, 4 manakala empat individu yang berada di dalam lori ialah Kamaludin Jaffren, 36, Nurul Hidayah Abd Rahim, 38, Saiffulah Kamaludin, 5, dan Hamrulah, 1 tahun 5 bulan.

Beliau berkata, operasi ditamatkan pada 2.18 petang selepas pemeriksaan akhir di kawasan kemalangan dilakukan dan dipastikan selamat. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast