LABUAN – Jabatan Imigresen (JIM) Labuan menahan enam pendatang tanpa izin dalam operasi dijalankan pada Khamis lepas dan semalam.
Pengarahnya, Raymond Entalai berkata dalam operasi pada Khamis, pihaknya memeriksa 49 individu termasuk kanak-kanak sebelum menahan lima daripadanya yang berusia antara 11 hingga 66 tahun.
“Pada semalam pula, seramai 32 individu diperiksa dengan seorang daripadanya ditahan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan mereka ditahan di Depot Imigresen Labuan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Pihak JIM Labuan akan mempergiatkan operasi secara berterusan bagi membendung kehadiran pendatang tanpa izin di pulau bebas cukai ini,” katanya. – Bernama