Darwin Nunez

LONDON – Jurgen Klopp mendakwa jaringan kemenangan kontroversi Darwin Nunez ke atas Nottingham Forest pada akhir permainan adalah sah untuk Liverpool melebarkan kelebihan kepada empat mata di puncak Liga Perdana Inggeris.

Nunez yang baru pulih daripada kecederaan, menanduk masuk gol tunggal permainan pada minit kesembilan masa kecederaan untuk kemenangan 1-0 di City Ground.

Bagaimanapun jaringan penyerang Uruguay itu membuatkan Forest berang selepas pengadil, Paul Tierney memberhentikan permainan sebelum gol berkenaan kerana kecederaan kepala pertahanan Liverpool, Ibrahima Konate.

Tierney meniup wisel ketika Forest sedang menyerang di kawasan Liverpool dan selepas Konate pulih, pengadil memberikan bola kepada penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher yang kemudian memulakan gerakan untuk gol Nunez.

Pada awal permainan, Tierney menghentikan serangan Liverpool selepas kapten Forest, Ryan Yates terkena sepakan Harvey Elliot dan permainan diteruskan dengan penjaga gol tuan rumah, Matz Sels memulakan serangan.

Gol kemenangan Nunez memberikan Liverpool kemenangan liga pertama di City Ground selepas hampir 40 tahun.

Kejayaan itu menambah tekanan ke atas Manchester City dan Arsenal yang berada di tangga kedua dan ketiga, dengan masing-masing akan beraksi malam ini serta esok menentang Manchester United dan Sheffield United. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast