Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf hadir pada majlis perasmian Portal Semak Mule 2.0 di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 03 MARCH 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima maklumat dan mengesan transaksi pemindahan wang ke luar negara secara mencurigakan melibatkan nilai kira-kira RM3.8 bilion membabitkan sindiket penipuan pelaburan dalam talian dari 2021 hingga penghujung 2023 di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan mendapati transaksi berkenaan melibatkan akaun keldai 15 syarikat perdagangan yang berdaftar di Malaysia.

“Manakala polis juga mendapati kesemua wang yang terlibat dalam pemindahan ke luar negara itu disyaki adalah hasil kegiatan penipuan pelaburan membabitkan mangsa di dalam negara.

“Siasatan lanjut polis juga mendapati syarikat-syarikat tersebut telah digunakan oleh sindiket penipuan untuk membuka akaun bank bagi tujuan menyalurkan wang hasil penipuan ke 43 negara di seluruh dunia,” katanya dalam majlis Pelancaran Semak Mule 2.0 di Pusat Beli Belah Mid Valley Bangsar hari ini.

Tambah Ramli, berdasarkan kajian yang dijalankan JSJK juga mendapati wujud trend pendaftaran syarikat dan pembukaan akaun bank atas nama syarikat dengan tujuan untuk dijadikan sebagai keldai akaun untuk penipuan pelaburan oleh sindiket.

Justeru katanya, taktik itu menjadi pilihan kerana ia membolehkan transaksi kewangan dilakukan secara lebih kerap dan melibatkan jumlah amaun kewangan yang lebih besar.

“Jadi selain daripada akaun keldai individu kini wujud pula akaun keldai syarikat yang memberi ancaman kewangan yang lebih besar kerana transaksi yang bertopengkan syarikat melibatkan jumlah wang yang boleh mencecah billion ringgit.

“Dalam perkara ini, kita juga mendapati modus operandi sindiket itu adalah membuka akaun bank atas nama individu iaitu menyasarkan setiausaha sesebuah syarikat yang akan dijadikan keldai akaun bagi transaksi wang penipuan pelaburan oleh scammer.

“Dalam hal ini kelebihan teknologi digital dalam era siber ini yang memudahkan pendaftaran syarikat disalahgunakan oleh scammer yang kadang-kadang tidak mempunyai latar belakang dan kewangan yang kukuh.

“Ia mengakibatkan sebarang transaksi kewangan dalam jumlah besar berlaku dengan begitu mudah dengan negara-negara luar dan terlepas seolah menunjukkan ia transaksi yang genuine (sah), legitimate (sahih) dan dibolehkan.

‘Saya bagi contoh, ada satu syarikat elektronik dikesan memindahkan RM1.9 bilion menerusi akaun keldai sebelum penyiasatan kami dengan rakan-rakan sejawatan di luar negara dilaksanakan.

“Tetapi ia bukan sebegitu mudah prosesnya untuk mereka mendapatkan suspek dan juga syarikat itu kerana mereka dikawal dengan undang-undang domestik di sana,” ujarnya.

Malah, katanya, proses menjejaki dan mengembalikan wang mangsa kerugian penipuan juga rumit dan bukan semudah yang disangka sejurus menerima laporan polis tentang penipuan itu.

Beliau juga mengakui terdapat juga ahli lembaga pengarah yang tidak menyedari mereka juga terheret dalam keldai akaun syarikat mereka oleh sindiket.

“Justeru, dalam satu lagi perkembangan baharu kita sedang menyemak satu negara di benua Asia yang mana kebanyakan syarikat itu didapati ditutup selepas selesai menerima transaksi wang sepenuhnya oleh sindiket.

“Hampir 90 peratus syarikat itu ditutup yang mana siasatan mendapati ia hanya syarikat biasa yang hanya dibuka keldai akaun bagi tujuan penipuan sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette