Aminul Izmeer Mohd Sohaimi (tengah) menunjukkan gambar dadah yang dirampas anggota Kastam Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Durian Tunggal, Melaka sebulan lalu.

ISKANDAR PUTERI – Taktik seorang pemuda meletakkan bungkusan coklat bersama 14 bungkusan disyaki dadah tidak menjadi berhasil apabila helah itu dihidu pihak berkuasa.

Pengarah Kastam Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, lelaki tersebut tersebut ditahan dalam serbuan yang dilakukan ke atas kenderaan di Durian Tunggal, Melaka 14 Februari lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas sehuah kenderaan tersebut membawa kepada penemuan pelbagai bungkusan.

“Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu JKDM berjaya menemui  satu karung bewarna merah di but kenderaan yang mempunyai 19 bungkusan coklat yang terdiri tiga bungkusan disyaki gula, dua bungkusan disyaki precursor jenis Barium Sulfate.

“Selain itu turut ditemui bungkusan-bungkusan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 14 kilogram,”katanya pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Gelang Patah, dekat sini, hari ini.

Menurut Aminul Izmeer, selain merampas dadah bernilai RM542,709 pihaknya turut menyita sebuah kereta Toyota Vios.

Tambah beliau, lelaki tersebut yang berusia lewat 30-an telah dituduh di mahkamah pada 29 Februari lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette