KUALA LUMPUR – Permohonan bekas Menteri Kewangan, Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarganya mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap mereka ditolak Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, membuat keputusan sebentar tadi berkata, pemohon telah gagal menimbulkan wujudnya ‘mala fide’ berkaitan siasatan SPRM terhadap Daim dan keluarganya.
Permohonan terbabit difailkan Daim melalui firma guaman, Tetuan Tommy Thomas di Mahkamah Tinggi pada 10 Januari lalu, turut menamakan isterinya, Toh Puan Na’imah sebagai pemohon.
Turut memohon ialah empat anak mereka iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin serta Ilham Tower Sdn Bhd, manakala SPRM dan pendakwa raya selaku responden.
Daim dan keluarga memohon perisytiharan SPRM tiada sebab untuk menjalankan siasatan bermula Februari 2023, yang akan membawa kepada pendakwaan terhadap mereka.
Keluarga itu telah memohon perintah supaya SPRM dan pegawainya menghentikan semua siasatan mengikut Aturan 53 Kaedah 3(8) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Melalui afidavit sokongan dalam permohonan berkenaan pula, Daim mendakwa dirinya adalah ahli perniagaan kaya dan berjaya sebelum menyertai politik serta memiliki saham cair sebanyak lebih RM50b hari ini jika kekal dalam perniagaan tanpa lakukan apa-apa. -MalaysiaGazette