Zarul Ahmad Mohd Zulkifli

KUALA LUMPUR – Saksi utama prosiding kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang mengaku tidak pernah menyebut nama bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng adalah penerima baucer bayaran dan cek RM2 juta ketika beliau memberi keterangan pada 2018.

Namun Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli ketika disoal oleh peguam Haijan Omar pada sesi pemeriksaan utama tidak bersetuju bahawa beliau telah membayar baucer dan cek itu kepada ahli perniagaan, G Gnanaraja.

Ketika cuba menerangkan situasi itu, peguam bela hanya memintanya menjawab ya atau tidak sahaja.

Zarul Ahmad berkata, beliau perlu diberikan peluang untuk menjelaskan perkara itu memandangkan soalan peguam bela itu mengelirukannya.

Lim Guan Eng Foto MUHD NA’IM, 05 APRIL 2023.

Guan Eng sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad  memberitahu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan keterangan beliau bagaimana Gnanaraja telah menipunya sebanyak RM19 juta.

Bagaimanapun, beliaui bersetuju dengan cadangan peguam bahawa  keterangan yang diberikan kepada SPRM menyebabkan Gnanaraja didakwa di mahkamah (Sesyen Shah Alam) dan ditarik balik darjah kebesaran bergelar Datuk Seri.

Prosiding hari ini adalah untuk menentukan sama ada wujud percanggahan pernyataan Zarul Ahmad dalam kes penipuan Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan kes Guan Eng berkaitan lot tanah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan projek terowong dasar laut.

Isu kredbiliti saksi ini timbul pada prosiding lepas apabila pasukan pembelaan mendapati keterangan Zarul Ahmad berubah berhubung isu pemberian wang sebanyak RM2 juta, masing-masing untuk Guan Eng dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diberikan melalui Gnanaraja selaku orang tengah pada 2017.

Prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi bersambung Rabu ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast