KUALA LUMPUR – Sijil Alternatif Sekolah Menengah (SASM) tahun 2023 bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) akan dikeluarkan pada 11 Mac 2024 (Isnin) dan boleh diperoleh dari sekolah masing-masing mulai pukul 10.00 pagi.
Seramai 3,210 orang murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dari 725 buah sekolah di seluruh negara telah menamatkan persekolahan bagi sesi akademik 2023/2024 dan layak menerima SASM, kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurutnya, Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) tahun 2023 bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) telah selesai dilaksanakan pada 19 Januari lalu.
SASM adalah cerminan agenda pendidikan manusiawi KPM yang memastikan akses pendidikan yang terbaik untuk semua murid dan tiada siapa yang terpinggir.
KPM sentiasa komited untuk terus memastikan ekuiti dan kesamarataan pendidikan terjamin untuk semua murid seperti yang
terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025. – MalaysiaGazette