Adam Adli

KUALA LUMPUR – Prosedur operasi standard (SOP) penganjuran sukan berisiko tinggi akan dipertingkatkan melalui kerjasama majlis sukan negeri (MSN).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, langkah tersebut bagi mengelakkan kejadian Atlet Silat Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin yang meninggal dunia baru-baru ini berulang semula.

“Kita memastikan selepas ini akan ada kerjasama lebih rapat dengan MSN supaya setiap SOP penganjuran sukan berisiko tinggi boleh diperketatkan dan kita tidak mahu lihat perkara begini berulang kerana kesilapan yang boleh kita elakkan di peringkat awal,” beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden (Perikatan Nasional) di Dewan Rakyat.

Terdahulu, beliau mewakili Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga atlet yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban selepas tidak sedarkan diri ketika pertandingan prapemilihan Sukma petang semalam.

Katanya, kementerian tersebut masih menunggu laporan siasatan kejadian daripada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) sebagai penganjur.

Mengulas lanjut beliau mengingatkan supaya penganjur sukan berisiko mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Setakat sekarang kita tidak meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak, namun tentu sekali dari sudut unutuk memastikan insiden seperti ini tidak lagi berulang kita kena memastikan penganjur mematuhi SOP yang ini perlu diselaraskan dengan Pihak Pesuruhjaya Sukan.

“Kita juga telah melancarkan Kod Sukan Selamat yang merangkumi tanggungjawab pihak penganjur dalam memastikan pemantauan SOP, penyediaan ruang selamat serta pastikan ada cara kita tangani perkara tertentu,” tambahnya.

Sementara itu, Adam berkata program naturalisasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk skuad kebangsaan masih digantung buat masa ini.

Walaubagaimanapun ujarnya kelab bola sepak di bawah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih boleh meneruskan program itu dengan mematuhi langkah serta prosedur yang digariskan kerajaan.

“Kehadiran mereka telah menyumbang kepada peningkatan dalam kualiti bola sepak Malaysia, seperti yang dibuktikan oleh kenaikan ranking FIFA Harimau Malaysia baru-baru ini,” katanya.- MalaysiaGazette