Tertuduh, Nur Hafiz Abd Rahim, 42 dan Maziri Mahmud, 41, masing-masing dijatuhi hukuman khidmat masyarakat selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri dan menerima harta curi seutas jam tangan pintar berjenama bulan lalu.

MELAKA – Dua sahabat masing-masing dijatuhi hukuman khidmat masyarakat selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas kesalahan mencuri dan menerima harta curi seutas jam tangan pintar berjenama bulan lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Nur Hafiz Abd Rahim, 42 dan Maziri Mahmud, 41, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Nur Hafiz didapati telah mencuri seutas jam tangan jenama Garmin Approach S70 mengakibatkan kerugian berjumlah RM3,210 milikan syarikat Garmin.

Kesalahan itu dilakukan di Kedai Garmin Aeon Bandaraya Melaka dalam daerah Melaka Tengah di sini pada kira-kira 5.52 petang 6 Februari lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK).

Dalam prosiding sama, Maziri bersama-sama yang masih bebas dengan curangnya telah menerima jam sama yang dilaporkan hilang dan mempunyai sebab mempercayai ia adalah harta curi antara pukul 5.52 petang hingga 11 malam tarikh sama di sekitar lorong dalam daerah Melaka Tengah.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya mengikut Seksyen 411 KK dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Terdahulu, peguam Faiezad Razali memohon kedua-dua anak guamnya dikenakan hukuman alternatif di bawah Seksyen 5 Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 (Pindaan 2021) kerana masing-masing mempunyai tanggungan keluarga.

Nur Hafiz katanya, hanya bekerja sebagai penghantar kuih dengan pendapatan bulanan RM1,500, menanggung isteri yang tidak bekerja dan sakit, bapa mentua terlantar dan dua anak masih kecil berusia 10 dan 12 tahun.

Maziri pula merupakan penanggung isteri dan dua anak berusia 10 dan 14 tahun dengan pendapatan sekitar RM1,600 sebulan sebagai pekerja kilang.

Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal.

Selepas mendengar hujahan kedua pihak, Majistret Nabilah mengarahkan masing-masing tertuduh dikenakan perintah kehadiran wajib selama tiga bulan, tiga jam sehari di Pejabat Payroll Melaka Tengah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast