Dr Zambry Abdul Kadir ketika menghadiri Antalya Diplomacy Forum (ADF) 2024 di Antalya, Turkiye baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Tujuh negara bersetuju menjalin kerjasama dengan Malaysia untuk melebarkan program pengantarabangsaan pendidikan tinggi, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Zambry berkata, persetujuan tersebut dicapai selepas beliau bertemu bekas rakan sejawat semasa (beliau) menjawat  jawatan Menteri Luar, ketika menghadiri Antalya Diplomacy Forum (ADF) 2024 di Antalya, Turkiye, baru-baru ini.

Antaranya ialah Timbalan Perdana Menteri II Kosovo yang juga Menteri Luar, Menteri Luar Uzbekistan, Timbalan Perdana Menteri Iraq merangkap Menteri Luar, Menteri Luar Kyrgyzstan, Menteri Luar Sri Lanka, Presiden Majlis Tertinggi Negara Libya, Presiden Turkish Maarif Foundation dan Menteri Luar Turkiye.

Zambry berkata, sepanjang menghadiri ADF itu, beliau telah mengadakan lapan mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar negara berkenaan dengan pelbagai perkara dibincangkan termasuk berkaitan pendidikan tinggi negara itu.

“Persetujuan dicapai dengan semua negara ini bagi kita melebarkan program pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara dari segi pertukaran pelajar, pensyarah, penyelidikan dan juga bidang-bidang tumpuan yang boleh dipelopori bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di forum itu berkata negara seperti Iraq dan Libya juga bersedia menawarkan biasiswa lebih besar untuk pelajar mereka datang ke Malaysia.

Ketika di Istanbul, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran persefahaman di antara Universiti Utara Malaysia dengan lima universiti di Turkiye iaitu Universiti Karabuk, Universiti Ankara Yıldırım Beyazıt, Universiti Dicle, Universiti Gebze Technical dan Universiti Mardin Artuklu.

“Usahasama ini sangat baik terutamanya dalam negara ini membina rangkaian pendidikan dengan institusi antarabangsa dan pada masa sama proses perkongsian dan pemindahan ilmu serta kemahiran dapat berlangsung melalui pelbagai medium,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia turut diberi penghormatan untuk menjadi panelis bagi sesi yang bertajuk, Building Asia – Pacific Regional Architectures: The Challenge of Unmatching Interest pada program yang dihadiri lebih 4,000 delegasi dari 100 negara itu.

Pada sesi itu, beliau turut menyampaikan pandangan Malaysia dan Perdana Menteri berkenaan isu Asia Pasifik yang semakin menjadi perhatian kuasa-kuasa besar dunia.

“Saya menegaskan bahawa Malaysia mahukan sebuah rantau yang bebas daripada sebarang kongkongan mana-mana pihak serta mengambil pendirian untuk bekerjasama dengan semua pihak demi tujuan menjaga kestabilan rantau,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast