Yazan al-Kafarneh antara kanak-kanak Palestin yang mati akibat kebuluran.

GAZA CITY – Bom dan peluru bukan lagi menjadi satu-satunya senjata untuk membunuh rakyat Palestin kerana ‘kebuluran’ akibat sekatan makanan oleh Israel kini mulai meninggalkan kesan.

Agensi Anadolu telah mendokumentasikan kematian 16 bayi dan kanak-kanak Palestin akibat kekurangan zat berikutan tidak mendapat bekalan makanan yang mencukupi.

Menurutnya, bandar di bahagian utara Semenanjung Gaza termasuk Kota Gaza, Beit Lahia, Jabalia dan Beit Hanoun menduduki tempat pertama daripada segi kematian akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi.

Sejumlah 15 bayi dan kanak-kanak mati di kawasan tersebut dan dilaporkan tidak mendapat bekalan makanan sejak 7 Oktober lalu sejak Israel melancarkan pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk Gaza.

Seorang lagi kanak-kanak meninggal dunia di Rafah yang terletak selatan dan menjadi tumpuan lebih 1 juta penduduk yang melarikan diri dari utara dan tengah Gaza.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan kematian dua bayi akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi di Hospital Kamal Adwan di bahagian utara.

Hospital itu telah menyaksikan kadar kematian bayi yang tinggi akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi serta disebabkan penutupan kemudahan kerana kekurangan bahan api untuk penjananya.

Mengulas mengenai kematian kanak-kanak itu, pengarah Hospital Kamal Adwan, Hussam Abu Safiya berkata, utara Semenanjung Gaza sedang mengalami “kebuluran yang sebenar.”

“Ramai kanak-kanak datang ke hospital dengan komplikasi kekurangan zat makanan,” katanya kepada Anadolu.

Berikut adalah senarai kematian kanak-kanak baru-baru ini di Gaza:

Mira Saleh Abdel-Nabi (2 tahun).

Dua bayi yang tidak dinamakan, anak kepada Heba Ziyadah (33 hari, 40 hari).

Mennatallah Abu Amerah (6 bulan).

Sahar al-Zebdaa (40 hari).

Khaled Ahmed Hijazi (dua setengah tahun).

Mohammed al-Zaygh (45 hari).

Mahmoud Ghaben (1 tahun).

Anak lelaki yang tidak dinamakan kepada ibu Hanan Eliwa (2 tahun).

Ibrahim al-Batesh (3 tahun).

Anwar al-Khoudary (9 bulan).

Mosab Abu Aser (Umur tidak diketahui).

Bayi yang tidak dinamakan kepada ibu Nesma Khalaf (14 hari).

Abdel-Aziz Salem (2 bulan). Meninggal dunia akibat komplikasi bersalin pramatang.

Yousef Sami al-Taramsi (6 bulan).

Yazan al-Kafarneh (10 tahun). Yazan meninggal dunia pada hari Isnin di Rafah selepas 10 hari dimasukkan ke hospital.-Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast