Nur Zulfa.

SEBERANG PERAI – Tidak timbul isu layanan buruk terhadap mana-mana tahanan di Depot Tahanan Imigresen Juru di sini.

Demikian tegas Pengarah JIM Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Human Rights Watch (HRW) berlaku pencabulan hak asasi manusia serta penganiayaan terhadap tahanan di depoh imigresen Utara tanah air.

Menurut Nur Zulfa, keadaan tahanan di depot negeri ini terkawal selain masing-masing mereka diberikan layanan mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk dari segi memenuhi waktu makan.

“Dakwaan tidak dilayan (berlaku penganiayaan terhadap tahanan di depot imigresen Utara tanah air) itu tidak betul.

“Bagi kita di sini (Imigresen Pulau Pinang) saya sendiri turun untuk lihat keadaan di depot dan tiada penyeksaan atau penderaan kewarganegaraan berlaku, semuanya dalam keadaan terkawal.

“Malah, tindakan tatatertib akan diambil terhadap pegawai sekiranya perkara itu berlaku (layanan tidak berperikemanusiaan) kerana mereka (tahanan) perlu dijaga dengan baik serta itu hak asasi sebagai manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ramah mesra bersama media di Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Seberang Jaya di sini, hari ini.

Tambah Nur Zulfa, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) serta beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dilantik turut melakukan lawatan melihat keadaan tahanan.

“Suhakam dan NGO yang dilantik itu akan buat lawatan beberapa kali dalam tempoh setahun bagi melihat sama ada pihak kita mengikut SOP atau sebaliknya.

“Untuk makluman kanak-kanak berusia bawah 13 tahun memang ditempatkan bersama keluarga manakala mereka berusia 13 hingga 18 tahun saja, diasingkan,” katanya.

Untuk rekod, jumlah kapasiti tahanan di Depot Tahanan Imigresen Juru adalah seramai 500 orang.

Media tempatan hari ini melaporkan HRW mendakwa wujud dakwaan tahanan dilayan buruk di depot imigresen di Utara tanah air berdasarkan temu bual dijalankan terhadap 43 individu yang ditahan di depot terbabit.

NGO antarabangsa itu juga mendakwa tahanan menderita keadaan hidup yang teruk, kurangnya penjagaan perubatan, dan menjadi mangsa penyeksaan dan penganiayaan fizikal berpanjangan, yang didakwa mengakibatkan ‘banyak’ kematian.

Laporan itu juga mendakwa, wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa penganiayaan dan pengabaian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast