Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Perasmian pembukaan Seksyen 5A LTU Raub Bypass hari ini

RAUB – Kerajaan Pahang mencadangkan kerajaan persekutuan menyediakan hentian rehat dan rawat (R&R) di laluan Raub Bypass bagi kemudahan pengguna jalan raya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Ismail berkata, R&R yang dicadangkan untuk laluan Bentong ke Raub merupakan keperluan untuk pengguna Lingkaran Tengah Utara (LTU) itu berehat.

Jelasnya, pembinaan kemudahan tersebut juga dapat menjaga kebersihan lebuh raya tersebut.

“Kebersihan dikekalkan kerana tak mahu ada sampah-sarap diatas jalan raya, dan keperluan di lebuh raya akan dibia secara berfasa dan keperluan pengguna,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada masjlis perasmian laluan Seksyen 5A Raub ByPass sepanjang 6.4 kilometer, di sini, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurut Wan Rosdy, laluan tersebut akan dibuka kepada orang awam pada jam 12.01 tengah malam ini. – MalaysiaGazette