Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada Pembentangan dan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menghapuskan kartel beras dengan segera yang menyebabkan faktor kekurangan beras tempatan di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sesuatu yang pelik berlaku hari ini apabila beras tempatan hilang dari pasaran sedangkan negara mengeluarkan sebanyak 62 peratus makanan ruji itu dan tidak sampai 30 peratus ia diimport.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, senario itu pastinya melibatkan kartel yang mengawal pasaran beras tempatan negara.

“Saya difahamkan banyak beras tempatan hanya ditukar kampit sahaja kepada import dan mereka membuat keuntungan yang tinggi.

“Kedua, beras tempatan dicampur dengan beras tempatan dan dijual dengan beras import dan kartel harus dihapuskan segera seperti mana yang dilakukan oleh Kerajaan Keluarga Malaysia untuk mengekang kartel ayam,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sempena Perbahasan Menjunjung Kasih Dan Tahniah Titah Diraja.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, semasa pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan beliau pada 31 Januari 2022 telah mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menjalankan siasatan terhadap kartel-kartel yang menguasai pasaran ayam.

Katanya, pada 22 Disember lalu, MyCC mengenakan denda sebanyak RM415 juta terhadap lima syarikat kerana membentuk ‘kartel makanan ayam’ untuk menetapkan harga.

“Inilah golongan rakus yang mengambil keuntungan dengan menindas golongan yang memerlukan.

“Bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung rakyat, saya mencadangkan kerajaan melakukan penilaian ke atas bantuan sedia ada bagi memastikan kestabilan hidup mereka lebih terkesan.

“Untuk mengelakkan kenaikan harga barang akibat sistem percukaian yang tidak cekap, saya bersetuju dengan pandangan beberapa rakan bahawa GST perlu dikembalikan, biar atas apa nama sekali pun, kerana ia terbukti, bahawa sistem percukaian tersebut lebih telus dan sekaligus dapat mengimbangi fiskal kerajaan melalui kutipan hasil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast