Tan Sri Rafidah Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberi tindak balas dengan segera perkembangan penutupan kilang di negara ini.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, penamatan operasi kilang Goodyear Malaysia yang telah wujud selama 52 tahun menimbulkan kejutan besar.

Beliau berkata, notis penutupan kilang berkenaan yang terletak di Shah Alam, Selangor adalah sesuatu yang tidak dijangka.

“Ia satu kejutan yang tidak dijangka untuk membacanya di media, mengenai entiti lama dalam sektor perindustrian, Goodyear telah memutuskan untuk menutup operasinya di Malaysia.

“Ia mesti membuatkan kita bermuhasabah untuk memahami sebabnya,” kata Rafidah kepada Malaysiakini.

Tambah Rafidah, adalah sangat penting bagi memastikan entiti perkilangan yang telah bertapak sekian lama di Malaysia tidak menutup operasi dan berpindah ke negara lain.

Beliau menegaskan, Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada pemeteraian memorandum persefahaman bernilai berbilion dolar untuk mengukur tahap pelaburan.

“Kerajaan mesti segera bertindak balas terhadap perkembangan sebegini.

“Walaupun menggembar-gemburkan berbilion-bilion pelaburan yang mungkin, jangkaan sedang diperkatakan dan dibincangkan, adalah sangat penting agar entiti industri dan perniagaan yang sudah ada di sini tidak menutup kedai dan pergi ke negara lain,” katanya lagi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dari 1987 hingga 2008 itu turut mendesak kerajaan supaya mendedahkan jumlah syarikat yang telah menutup operasi di Malaysia.

“Ke mana mereka telah berpindah? Mengapa mereka berhenti operasi di Malaysia? Teliti apakah faktor pendorong yang mendorong mereka untuk tutup dan lebih teruk lagi, berpindah ke tempat lain,” katanya.

Sejak semalam tular memo dalaman Presiden Asia Pasifik Goodyear Tyre & Rubber Company Nathaniel Madarang mengenai penutupan syarikat berkenaan di Malaysia.

Beliau berkata kira-kira 550 pekerja di Malaysia akan terjejas dengan penutupan syarikat yang menjadi sebahagian daripada “program transformasi” dalam menjimatkan kos operasi sehingga RM1 bilion.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bye2 Goodyear, semakin merundum nampaknya ekonomi kita, ramai pelabur sudah tidak lagi percaya dengan kerajaan hancing chauvanis….

Comments are closed.