Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berucap pada Majlis penyampaiaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada warga PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 07 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Seramai 10,413 anggota dan pegawai pelbagai pangkat menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tahun lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dari jumlah itu, seramai 1,068 melibatkan pegawai kanan Polis, pegawai rendah polis (8,376) dan pegawai awam (970) menerima anugerah itu.

“Alhamdulillah bagi 2023, sebanyak 10,413 kuota pemberian APC diperuntukkan kepada warga PDRM berdasarkan kiraan lapan peratus kuota yang telah ditetapkan.

“Seramai 42 orang warga PDRM pula menerima sijil anugerah bagi penilaian 2023,” katanya berucap Majlis Penyampaian APC PDRM Tahun 2023 di Bukit Aman hari ini.

Razarudin berkata, selain pengiktirafan kepada perkhidmatan cemerlang pegawai penerima, APC juga merupakan salah satu kriteria yang diambil kira dalam aspek pengurusan sumber manusia antaranya kerjaya berkaitan kemajuan

“Pemberian APC menjadi asas sokongan bagi proses kenaikan pangkat dan peluang untuk menyertai kursus sama ada dalam mahupun luar negara.

“Besarlah harapan saya agar pengiktirafan ini menjadi suntikan semangat kepada para penerima serta pasukan lain, untuk terus memberikan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Selain itu, Razarudin juga berbesar apabila pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menyampaikan replikan cek SAHABAT PTPTN kepada Tabung Kebajikan PDRM.

“Wang yang disalurkan ini merupakan pulangan yang diterima PDRM sepanjang 2023, hasil daripada beberapa perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak PTPTN kepada warga pasukan,” katanya.

Katanya lagi, PDRM menzahirkan penghargaan kepada barisan Panel APC PDRM 2023 yang dipengerusikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

“Tidak dilupakan juga. ucapan terima kasih kepada pihak PTPTN atas sokongan serta kerjasama yang diberikan kepada PDRM selama ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette