Dr. Kamal Amzan mengucapkan tahniah kepada Zachary William Taylor atas usahanya mengumpul dana sebanyak RM5,000 untuk rawatan pesakit kanser serviks dan payudara.

ISKANDAR PUTERI – Hospital Gleneagles Johor (GHJ) komited memberi sokongan terhadap individu dan kumpulan yang memberi kesedaran terhadap aspek kesihatan.

Terbaharu, pelajar Kolej Marlborough Malaysia, Zachary William Taylor, 16, melakukan larian sejauh 85 kilometer (km) di sepanjang pantai Singapura bagi mengumpul dana yang akan disalurkan untuk rawatan pesakit kanser serviks dan payudara.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Johor, Dr. Kamal Amzan berkata, pelajar tersebut berjaya mengumpul RM5,000 menerusi gogetfunding.com sepanjang tempoh lebih 15 jam.

“Sudah tentu pencapaian ini membanggakan pihak hospital dan Zachary sendiri,” katanya pada sidang media, di sini, baru-baru ini.

Menurut Dr. Kamal, inisiatif itu diharapkan memberi inspirasi kepada semua golobgan terutama anak muda dan dana yang dikumpul akan disalurkan kepada Kumpulan Sokongan Kanser Payudara (BCSG), Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLICF), dan Persatuan Sokongan Kanser iCare Johor (iCare).

Tambah beliau, sumbangan itu dijangka memberi manfaat  kepada 25 individu yang memerlukan rawatan kanser. 

Sementara itu, Zachary berkata, persediaan fizikal dan mental menjadi cabaran sepanjang larian yang bermula jam 6 pagi dan mengambil masa selama 4 jam 30 minit.

“Saya harap ia dapat memberi contoh kepada yang lain untuk sama-sama beramal dan melakukan kebaikan,”ujarnya.– MalaysiaGazette