Kumar (tengah) menunjukkan barang rampasan dadah yang berjaya ditumpaskan polis Johor dalam enam serbuan baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Sindiket pengedaran dadah yang berperanan sebagai pemborong dadah yang menjadikan kediaman berpagar dan berpengawal sebagai stor penyimpanan dadah melibatkan nilai dan sitaan lebih RM1 juta tumpas dalam enam serbuan berasingan yang dilakukan di Setia Indah dan Johor Jaya.

Ketua Polis Johor Komisioner M.Kumar berkata, serbuan yang sama membawa kepada penahanan enam individu melibatkan tiga lelaki tempatan, satu wanita tempatan dan dua warga asing.

“Kesemua tangkapan berusia 29 hingga 39 tahun diberkas bersama sejumlah rampasan dadah dan hasil saringan urin mendapati tiga suspek positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine.

“Manakala hasil semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah dan seoramg lagi suspek mempunyai rekod orang dikehendaki,” katanya dalam sidang media sempena kejayaan Polis Johor di Ibu Pejabat Kontinjen hari ini.

Menurut Kumar, sindiket itu dikatakan telah aktif beroperasi sejak Disember tahun lalu.

“Sindiket ini menjadikan tarikan utama dalam pasaran tempatan seperti borong atau one stop centre.

“Kira-kira 6.7 kilogram dadah pelbagai jenis termasuk serbuk ekstasi,pil ekstasi, pil Erimin 5, syabu dan ganja bernilai RM510,628 dirampas,” katanya.

Kesemua suspek direman sehingga Isnin depan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Polis berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka.

Sebarang maklumat boleh disalirkan melalui talian 012 208 7222. – MalaysiaGazette