ALOR SETAR – Kerajaan Kedah tidak berhasrat untuk mengeluarkan lesen baharu untuk premis rumah urut di Langkawi bagi mengelakkan kegiatan tidak bermoral berleluasa di pulau pelancongan itu.
Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, premis sedia ada masih boleh beroperasi selagi tidak melanggar peraturan ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Di Langkawi sudah terdapat 41 premis urutan traditional, 31 premis dandanan rambut, 30 premis refleksologi, 17 premis rawatan muka, enam premis sauna dan spa, lima premis gim, tiga premis merias kuku tangan dan kaki serta dua premis solekan.
“Semua premis ini masih beroperasi, jadi kita tidak berhajat untuk mengembangkan lagi. Bagi yang bercadang untuk membuka spa itu masih dibenarkan tetapi perlu ikut peraturan PBT, yang tidak dibenarkan (lesen baharu) itu adalah premis rumah urut,” katanya pada sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Beliau berkata tindakan kerajaan negeri untuk memansuhkan premis rumah urut itu berdasarkan konsep mentadbir Kedah yang mengambil pendekatan lebih baik mencegah daripada merawat kegiatan yang tidak bermoral.
“Jika kita beri ruang yang terbuka kepada orang untuk datang dan buat sesuka hati, akhirnya kita (kerajaan negeri) yang kena merawat. Tambahan pula, Langkawi ini bukanlah pusat pelancongan yang terletak pada spa tetapi pulau itu sendiri menjadi tarikan kepada pelancong untuk datang ke sini.
“Kalau orang luar datang ke sini semata-mata kerana spa, mungkin mereka boleh pergi ke negara seberang (Thailand) yang jauh lebih hebat. Kita mahu memperkenalkan Langkawi ini kepada pelancong dengan benda-benda yang semula jadi seperti sejarahnya, pulaunya, makanan, budaya dan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Mansor berkata kerajaan negeri juga membuka ruang kepada mana-mana pihak swasta dari dalam mahupun luar negara yang berminat untuk membuka hospital swasta di Langkawi.
Selasa lepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah Amar Pared Mahamud (PN-Kuah) dalam Sidang DUN menyarankan supaya kerajaan negeri melabur menerusi anak syarikatnya atau menarik pelabur luar bagi mewujudkan sebuah hospital pakar bertaraf antarabangsa di Langkawi.
Hal itu katanya untuk membolehkan pelancong asing mendapatkan rawatan kesihatan terbaik di pulau pelancongan itu.
Beliau berkata Langkawi yang tersenarai pada tangga kesembilan sebagai Pulau Terbaik di Dunia oleh Majalah Travel Plus Leisure Readers 2023 seharusnya memiliki kemudahan hospital pakar bertaraf antarabangsa. – BERNAMA
Syabas kerajaan Kedah, hasrat rakyat untuk pastikan Kedah bebas rumah urut, rumah pelacuran, judi, arak, scammer dan pemerdagangan manusia. InsyaAllah kira semua akan membimbing negara kearah itu.