Prof. Dan Hunter (kiri) dan Prof. Dr. Jason Chuah (kanan) ketika menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) ketika pelancaran, semalam. - Ihsan Gambar: Unimalayalaw

KUALA LUMPUR – Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) telah melancarkan program dwi perintis yang merupakan satu kolaborasi antara UM dan King’s College London, semalam.

Dekan Fakulti Undang-Undang UM, Prof. Dr. Jason Chuah dan Dekan Eksekutif Fakulti Undang Undang King’s College, Prof. Dan Hunter menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) kerjasama tersebut.

Ia merupakan pencapaian baharu dalam pengajian tinggi kerana memberikan peluang kepada pelajar untuk mendapat Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dan Sarjana Undang-Undang (LLM) daripada dua institusi yang berprestij dalam masa yang serentak.

Pelajar Undang-Undang UM turut diberikan peluang untuk melakukan Program Dwi Ijazah berkonsep 3+1+1 ini yang mana mereka perlu melengkapkan tiga tahun pertama LLB di UM sebelum bergerak ke London untuk tahun pertama di LLM dan kembali ke UM untuk tahun terakhir LLB.

Program ini dicipta khas untuk memenuhi permintaan tenaga kerja global yang semakin meningkat, sambil memberi pendidikan komprehensif yang akan mengukuhkan kekuatan dan kepakaran antara kedua-dua institusi.

“Kami sangat teruja dengan kolaborasi bersama UM untuk program ini.

“Para pelajar juga akan dilatih dengan dua jenis undang-undang, Malaysia dan Inggeris, sekaligus membantu dalam menonjolkan diri mereka dalam bidang kerja yang sangat kompetitif ini,” ujar Hunter.

Pelajar yang berminat untuk mendaftar di UM, sama ada sebagai pemohon UPU (Unit Pusat Universiti) atau Saluran Terbuka UM (SATU) akan diberi peluang sama rata untuk merebut tempat dalam program ini.

“UM akan menambah bilangan tempat yang ditawarkan kepada pemohon SATU, khususnya mereka yang memenuhi syarikat kemasukan UM,” kata Chuah.

Menurut kenyataan itu, UM juga komited untuk meluaskan penyertaan daripada semua lapisan masyarakat di Malaysia. – MalaysiaGazette