PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) kekal dengan ketetapan tarikh akhir pengambilan pekerja asing pada 31 Mei 2024 seperti yang diputuskan sebelum ini meskipun menerima pelbagai desakan dari luar untuk membatalkannya.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, kerajaan mengekalkan tarikh akhir pengambilan pekerja asing itu selepas mengambil kira faktor keselamatan negara dan alasan yang kukuh.
Keputusan ini dibuat secara kolektif dan bersama membabitkan semua agensi kawal selia dibawah KDN serta kementerian yang berkaitan.
“KDN berpaksikan kepada elemen keselamatan dan ketenteraman awam, Kementerian Sumber Manusia dari aspek keperluan tenaga buruh negara dan ketiga, Agensi Kawal Selia (AKS) selaku penyelia kepada setiap sektor yang berkaitan daripada segi unjuran keperluan tenaga kerja asing berdasarkan kelayakan syarat penggajian pekerja asing.
“Alasa ketiga adalah keputusan ini membolehkan kerajaan menilai keberkesanan segala inisiatif yang sudah dilaksanakan dan mengukur secara tepat keperluan tenaga kerja asing dalam negara sebelum membuat pertimbangan keperluan pembukaan kuota penggajian pekerja asing,” katanya pada sidang media khas di kementeriannya petang ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, melalui cara itu, kerajaan boleh menyelia segala inisiatif oleh KDN dan menjadi pengukur yang tepat dengan keperluan tenaga kerja asing dalam negara sebelum pihaknya membuat keputusan.
Justeru beliau juga menjelaskan alasan keempat adalah bagi tempoh 17 Januari 2023 sehingga 18 Mac 2023, sebanyak 412,011 kuota yang sudah dibayar levi.
Daripada jumlah terbabit, 239,305 kuota (58.1 peratus) diberikan surat kelulusan VDR sehingga 31 Disember 2023.
“Statistik ini memberikan satu gambaran yang jelas bahawa majikan yang benar-benar memerlukan pekerja asing akan menyegerakan kemasukan pekerja asing ke dalam negara,” katanya.
Sebelum ini, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dilaporkan menggesa kerajaan untuk membatalkan keputusan mempercepat tarikh akhir pengambilan pekerja asing.
Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan yang sama juga memberi ruang untuk kerajaan memantau keberkesanan langkah-langkah pelarasan yang diputuskan dan seterusnya meneroka tata kelola pekerja asing lebih baik
“Selain itu, tempoh kemasukan pekerja asing juga wajar dipendekkan selaras dengan hasrat kerajaan menyegerakan proses kemasukan pekerja asing bagi memenuhi keperluan mendesak industri.
“Keputusan ini juga diharapkan dapat mencegah eksploitasi pekerja asing yang kita dengar kebelakangan ini, dibawa masuk tetapi tiada pekerjaan, tempat tinggal teruk dan pelbagai masalah lagi dapat dielak selepas ini,” ujarnya.
Kerajaan sebelum ini memutuskan baki kuota penggajian pekerja asing sektor formal yang masih aktif dan sudah dibayar levi tetapi masih belum diterbitkan Visa Dengan Rujukan (VDR) pada 31 Mac ini akan dibatalkan dengan bayaran levi kuota dikembalikan kepada majikan.
Kerajaan turut memutuskan tarikh akhir kemasukan pekerja asing sektor formal yang baharu dengan VDR adalah pada 31 Mei 2024 dan tiada lagi kemasukan pekerja asing sektor formal dari kuota yang aktif dibenarkan bermula 1 Jun 2024.
Untuk rekod, Jabatan Perangkaan mengunjurkan keseluruhan guna tenaga kerja dalam negara menjelang November 2023 adalah seramai 17,000,000.
Justeru, siling yang dibenarkan bagi jumlah keseluruhan pekerja asing dalam negara seramai 2,550,000 orang.
Sehingga 29 Februari 2024, jumlah pekerja asing aktif yang direkodkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia seramai 2,130,931 orang. – MalaysiaGazette