Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata. (Gambar fail)

KUCHING – Polis telah melaksanakan 2,312 tangkapan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM7.62 juta di Sarawak dari Januari hingga 6 Mac lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata dalam tempoh sama, pihaknya juga telah menyita harta disyaki hasil dari pendapatan pengedaran dadah bernilai RM557,294.

“Polis akan terus berusaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah. Kami berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Mancha berkata dari 4 hingga 6 Mac lepas, polis telah mengadakan Op Tapis di seluruh negeri ini  dengan 342 pemeriksaan di kawasan ladang, jeti nelayan, kampung, perumahan serta rumah kedai telah dijalankan.

“Sepanjang operasi itu juga seramai 282 orang berusia antara 17 hingga 56 tahun telah ditangkap atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah.

Selain itu, sebanyak 656.63 gram dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM42,911 telah berjaya dirampas,” katanya. – BERNAMA