Dari kiri: Mohd. Ridhuan Tee, Teresa Kok dan Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Pendakwah Islam, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah kesal kerana tidak ada seorang ahli Parlimen Melayu  mempertahankan Datuk Dr Teo Kok Seong daripada ‘serangan’ Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Dewan Rakyat.

Katanya, selepas beberapa hari masih tidak ada seorang pun pemimpin termasuk daripada Perikatan Nasional (PN) membela Kok Seong selepas didakwa oleh Teresa sebagai rasis dan mahu Felo Majlis Profesor Negara itu disiasat berkaitan satu video di TikTok.

“Sehingga hari ini, beberapa hari berlalu, tidak ada seorang pun ahli Parlimen PN terutamanya tampil mempertahankan atau membela Teo sedangkan kita semua tahu itulah kebenarannya. Adakah kamu ahli Parlimen sudah bacul, semua takut kepada kehilangan undi?

“Sampai hati kamu semua membiarkan seorang profesor Cina bercakap soal pendidikan Cina, terkontang-kanting seorang diri sedangkan sejarahwan Cina seperti mendiang Prof Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dan saya sendiri telah bercakap lama tentang persoalan dan isu besar negara ini,” tegasnya dalam kenyataan.

Ridhuan yang merupakan keturunan Cina dan memeluk Islam berkata, apa yang dikatakan oleh Kok Seong mempunyai kebenaran.

Beliau menegaskan, kenyataan Kok Seong tidak rasis seperti didakwa oleh ramai ‘ultra kiasu’ yang menyerang beliau dalam dan luar Parlimen.

“Teo adalah seorang Cina, membangkitkan isu pendidikan Cina, kecualilah Teo berbangsa Melayu. Bangsa Cina bercakap berkaitan dengan masalah bangsanya sendiri, itu adalah kebenaran, langsung tidak rasis, kecualilah Teo itu berbangsa Melayu dan kenyataan itu dikeluarkan oleh orang Melayu.

“Saya bangga dengan Teo, meski pun dikritik kiri dan kanan, Teo Kok Seong mempertahankan kenyataannya bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina menjadi punca perpecahan kaum di negara ini,” kata beliau.

Sementara itu, Ridhuan mencabar ‘pemimpin ultra kiasu’ untuk mengadakan perbincangan secara akademik mengenai isu terbabit.

“Mari kita sama-sama wacanakan atau forumkan, panggil juga ahli Parlimen ultra kiasu itu dan Dong Zong dan Jiao Zong. Jangan banyak soal dan banyak cakap lagi. Saya bersedia, bersama Profesor Teo Kok Seong.

“Saya cukup kecewa dengan ahli Parlimen PN dan BN terutamanya, jangan kamu diam kerana takut kehilangan undi dan kuasa. Itu bacul dan pondan namanya,” tambahnya.

Dalam sidang Dewan Rakyat minggu lalu, Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP menggesa pihak polis menyiasat Kok Seong berhubung rakaman video di TikTok yang mendakwa sekolah jenis kebangsaan Cina menyebarkan sentimen perkauman terhadap orang Melayu.

Teresa mempersoalkan mengapa Kok Seoang tidak disiasat dengan membandingkan siasatan polis terhadap pemimpin-pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Tony Pua.-MalaysiaGazette