KUALA LUMPUR – Anak sulung Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha akhirnya membuat keputusan memilih Kolej Permata Pintar Negara yang menawarkan program pendidikan menengah.
Ini kerana pelajar kolej itu akan belajar subjek-subjek seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan sejak dari tingkatan satu lagi.
Bella atau nama sebenarnya Sophea Isabella, 13, sebelum ini dalam dilema kerana turut menerima tawaran melanjutkan persekolahan ke sekolah berasrama penuh seperti Kolej Tunku Kurshiah (TKC) dan Kolej Yayasan Saad (KYS).
TKC antara sekolah Sekolah Berasrama Perempuan yang terkenal di Malaysia.
Sheikh Muszaphar berkata, keputusan itu adalah hasil daripada perbincangan dan solat istikharah.
“Pilihan sekolah untuk Bella. Apa yang menjadikan sebuah sekolah yang hebat? Guru-guru, kemudahan, persekitaran, kepimpinan, pendidikan berpusatkan pelajar, jangkaan tinggi, program yang ditawarkan, rangkaian alumni yang teguh dan sebagainya.
“Banyak sekolah hebat di luar sana dan setiap sekolah ada kelebihan tersendiri. Kecemelangan, prestasi dan sejarah yang terbukti.
“Selepas berfikir dan berbincang serta solat istikharah, kami memilih genius permata pintar (Kolej Permata Pintar Negara),” kongsinya di media sosial.
Bapa kepada tujuh anak itu memberitahu, keputusan itu turut didorong oleh persekitaran yang menggilap bakat dan kemampuan anaknya.
“Sekolah (KPPN) yang mencabar minda (Bella), bercampur dengan mereka yang cemerlang membuatnya menunjukkan potensi sebenarnya.
“Memilih sekolah yang betul penting tetapi pada akhirnya ia bergantung kepada pelajar itu sendiri. Kami berharap ia adalah pilihan yang tepat untuk Bella,” titipnya lagi. – MalaysiaGazette