KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh sesuka hati menyekat hak dan kebebasan rakyat yang sah, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata, Malaysia mempunyai landasan undang-undang dan kuasa kerajaan dihadkan oleh perundangan.
“Kerajaan tak boleh bertindak sesuka hati menyekat hak kebebasan rakyat yang sah melainkan mereka melakukan kesalahan di sisi undang-undang.
“Ketika saya jadi Perdana Menteri, bermacam-macam tohmahan mereka lemparkan terhadap saya dan kerajaan Perikatan Nasional. Tak pernah sekali pun saya arahkan MCMC atau TikTok sekat video atau posting rakyat di media sosial.
“Itu prinsip kita dalam mentadbir negara,” katanya dalam ucapan sempena Konvesyen Wakil-wakil Rakyat Perikatan Nasional (PN) 2024 di ibu negara hari ini.
Muhyiddin memberikan contoh video Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin disekat di media sosial setelah mendapat tontonan lebih satu juta.
“Mereka cuba mengawal naratif di media sosial. Mereka tak mahu rakyat mengkritik kerajaan kerana kelemahan-kelemahan mereka sendiri dan menjadikan mereka semakin tak popular. Kerana itu akhir-akhir ini media sosial dikawal ketat.
“Contohnya, video TikTok Ahli Parlimen Putrajaya mengenai kejatuhan nilai ringgit yang mencapai jutaan tontonan disekat.
“Kenapa harus disekat? Bukankah dahulu merekalah yang paling lantang memperjuangkan kebebasan media? Kononnya mereka memperjuangkan demokrasi dan hak asasi. Kenapa bila jadi kerajaan, mereka dengan rakusnya menggunakan kuasa untuk menyekat kebebasan? Ternyata mereka semua hipokrit,” kata Muhyiddin lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, PN akan terus menjadi ejen semak dan imbang kepada kerajaan seperti mana yang diinginkan oleh rakyat.
Justeru itu, PN akan bersedia untuk menjadi agen pelaksana rakyat demi melihat kepentingan rakyat diutamakan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Rakyat mahu kita menjadi suara mereka baik di Parlimen mahu pun di luar Parlimen. Maka kita mesti melaksanakan amanah ini dan yakin kita berada di landasan yang betul dan jalan yang benar.
“Insya-Allah, selagi mana kita teguh dengan pendirian kita dan melaksanakan tanggungjawab kita dengan baik, rakyat akan menghargai usaha kita dan menyokong kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette