KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menghormati keputusan Lembaga Pengampunan untuk menangguhkan pertimbangan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ke mesyuarat yang akan diadakan kelak.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya mengambil maklum dan menjunjung kasih atas keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya itu.
“Kuasa pengampunan merupakan hak mutlak yang diperuntukkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tertakluk di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Justeru, proses ini mesti dihormati sepenuhnya tanpa sebarang tekanan, desakan atau campur tangan politik daripada mana-mana pihak,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau berkata, Pemuda UMNO akan terus berpegang teguh kepada saluran undang-undang serta prinsip Perlembagaan Negara.
“Saya menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu pengampunan berkenaan serta memberi ruang sepenuhnya kepada proses yang tertakluk di bawah perundangan,” ujarnya.
Terdahulu Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengesahkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung hari ini.
Menurut kenyataan itu, Sultan Ibrahim dalam mesyuarat sama turut berkenan membebaskan 65 banduan pada hari ini.
Semua banduan bukan warganegara hendaklah diusir dan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan, menurut kenyataan itu.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan berkenaan melibatkan tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
MalaysiaGazette pada 8 September lalu melaporkan Lembaga Pengampunan dijangka bersidang Jumaat ini dengan permohonan berkaitan tahanan rumah Najib dipercayai antara perkara yang akan diberi perhatian. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:















