King Sing menghadiahkan sekuntum bunga kepada pengamal media pada majlis yang berlangsung di Sunway Resort Hotel semalam.

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing menghadiahkan wakil media wanita yang hadir Majlis Apresiasi Media Kementerian Pelancongan (MOTAC) dengan sekuntum bunga sempena Hari Wanita semalam.

Majlis Penghargaan Media dan Malam Warisan MOTAC 2024 itu diadakan di Sunway Resort Hotel dekat sini untuk menghargai sokongan pengamal media terhadap kementerian sepanjang tahun lepas.

“Kerjasama yang erat antara kerajaan dan pengamal media sangat penting terutamanya dalam menggerakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 akan datang.

“Kami yakin bahawa dengan adanya sokongan dari media, kita boleh bersama-sama mencapai matlamat yang lebih besar dalam mempromosikan keindahan dan keunikan negara kita di persada dunia,” ujar King Sing semalam.

Hampir 1,000 pengamal media telah diraikan dengan meriah pada Malam Penghargaan MOTAC itu.

Dalam majlis itu, MOTAC turut memperkenalkan pelbagai makanan warisan Malaysia seperti mi kolok, laksa nyonya, pasembur dan buah-buahan tempatan.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Majlis apresiasi itu, wakil media dihiburkan dengan persembahan silat, tarian singa selain persembahan Voices of Malaysia bagi menonjolkan kepelbagaian budaya dan etnik di negara ini.

Selain persembahan, menu makanan hidangan makan malam turut menampilkan kepelbagaian budaya di negara ini.

Antara menu yang dihidangkan ialah set sarapan yang Malaysia cadangkan dimasukkan ke Senarai Warisan Budaya Kemanusiaan Tidak Ketara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

King Sing juga menambah tahun 2024 akan menjadi tahun yang bernama untuk negara dan bakal dianggap sebagai ‘Tahun Warisan’. – MalaysiaGazette